About Me

My Photo
Mass Communication Students Association atau MASSA adalah satu persatuan pelajar yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berperanan untuk menyatukan semua pelajar komunikasi tanpa mengira sequence dan menjalankan program untuk para pelajar di UiTM Shah Alam amnya dan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya.

02 May 2010

Temuramah Bersama Naib Canselor UiTM

www.tips-fb.com


Melayu kena diberi kesedaran

NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, tidak malu mengaku yang beliau berasal dari keluarga miskin. Dilahirkan dan dibesarkan pula di tengah-tengah masyarakat Cina yang menguasai ekonomi dan politik di Pulau Pinang, perasaan insafnya terhadap nasib orang Melayu cukup mendalam.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN dan YAZID ALIAS serta jurugambar SHAHARANI SAIBI di pejabatnya di kampus Shah Alam, Isnin lepas, Dr. Sahol secara jujur berkongsi misinya untuk menyelamatkan masa depan anak Melayu.

Sebagai orang yang bertanggungjawab memimpin 140,000 pelajar UiTM, beliau merasakan perlu memberi kesedaran kepada mereka tentang hak yang perlu diperjuang dan dipertahankan dalam keadaan perpecahan orang Melayu cukup merunsingkan.

“Kalau selepas bercakap (memberi penjelasan) macam ini pun orang Melayu masih tak faham, masih tak sedar, kita memang menuju ke arah kehancuran,” katanya.


UTUSAN: UiTM ditubuhkan dengan objektif membantu orang Melayu terutamanya pelajar miskin luar bandar dengan memberikan ruang untuk mereka melanjutkan pelajaran. Bagaimana Datuk melihat peranan yang dimainkan UiTM itu, adakah masih sama, sudah berubah atau perlu ada penambahbaikan?

SAHOL HAMID: Peranan UiTM adalah untuk memartabatkan bangsa Melayu, memberi pendidikan kepada anak-anak Melayu dan bumiputera. Peranan UiTM juga adalah untuk pastikan graduan mendapat peluang kerja yang baik, mewujudkan keusahawanan orang Melayu dan meninggikan sosioekonomi bangsa ini di bandar dan luar bandar. Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh UiTM. Ia bermula pada tahun 1950-an sebagai institusi untuk membantu pelajar luar bandar berdasarkan perjuangan tokoh masa itu iaitu para pemimpin UMNO. Ini sejarah yang tidak boleh kita lupakan. Ia kemudiannya diangkat sebagai sebuah institut pada 1970-an sehingga menjadi sebuah universiti pada 1990-an.

Kini genap 54 tahun penubuhannya, UiTM telah mantap, dikenali di dalam dan luar negara manakala ramai rakyat telah faham peranan UiTM.

Sehingga kini, UiTM telah mengeluarkan 400,000 graduan dan ia semakin hari semakin berkembang dengan sasaran pengambilan 200,000 orang pelajar menjelang tahun 2015.

Kita berusaha untuk pertingkatkan lagi UiTM ke peringkat yang lebih tinggi. Akan tetapi UiTM tidak melupakan asal usul dan asas penubuhannya. Sekarang, selepas saya mengambil alih peranan sebagai Naib Canselor universiti ini, saya akan usahakan supaya peranan UiTM yang dahulu diteruskan untuk membantu pelajar miskin dalam bandar dan luar bandar. Kita akan letakkan UiTM di persada dunia dan menaikkan orang Melayu di mata dunia. Usaha ini akan dilakukan secara berterusan dan insya-Allah, tidak lama lagi UiTM akan dikenali sebagai sebuah universiti penyelidikan dan sebagainya.

Adakah UiTM kini terlalu menumpukan soal komersial sehingga mengabaikan asas penubuhannya untuk membantu Melayu?

Kalau nak kata UiTM menumpukan soal komersial dalam pengambilan pelajar sebenarnya tidak, UiTM adalah sebuah institusi yang mantap dan meningkatkan prestasi akademik yang tinggi. UiTM terpaksa menjadi sebuah universiti dan sudah tentu melibatkan dari segi keputusan pelajar. Kalau UiTM mahu bersaing dengan universiti-universiti lain, ia perlu memenuhi syarat badan-badan profesional termasuk bagaimana keputusan pelajar yang diterima masuk. Sungguhpun begitu sejak kebelakangan ini, kajian kita mendapati kemasukan pelajar berdasarkan merit dan persaingan semata-mata telah mewujudkan ketidakseimbangan.

Contohnya, daripada 20,000 pelajar yang diterima masuk, 70 peratus daripadanya perempuan, tinggal di kawasan bandar dan mendapat pendidikan di sekolah berasrama.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan, bermakna kita tergelincir daripada matlamat asal (penubuhan UiTM) kerana begitu ramai pelajar luar bandar tidak mendapat tempat, yang kebanyakan mereka juga ialah pelajar lelaki.

Saya khuatir, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, kita mungkin menghadapi masalah sosial ekoran keadaan ini. Memandangkan bilangan golongan wanita Melayu terpelajar dan berkedudukan tinggi semakin ramai, kalangan yang tidak berkahwin juga akan bertambah. Maka zuriat daripada orang Melayu akan berkurang. Apabila kurangnya zuriat daripada kalangan anak Melayu, ia boleh menyebabkan populasi orang Melayu menurun sehingga mungkin menjadi minoriti di negara sendiri.

Ini kerana, keadaan itu wujud akibat perbezaan taraf pendidikan dan sosial terutama kurangnya tempat dan peluang pendidikan kepada pelajar lelaki Melayu. Kemungkinan besar keadaan ini boleh berlaku sehingga menyebabkan anak-anak lelaki Melayu terjebak dengan gejala sosial seperti jenayah dan kegiatan antisosial gara-gara mereka tidak diberi tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Jadi sebagai sebuah institusi yang pentingkan masa depan anak bangsanya, UiTM merasakan perlu bertindak mengadakan program dan perancangan bagi menangani keadaan ini.

Maka sebab itulah kita mulakan apa yang dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa. Program ini diadakan untuk membawa kita kembali kepada asal usul penubuhan universiti ini dengan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan bumiputera luar bandar, juga di bandar. Ini kerana kita cukup insaf, para pelajar ini mendapat keputusan rendah, bukan kerana tidak pandai atau tidak bijak, tetapi faktor persekitaran yang mempengaruhi mereka. Ini termasuk kemiskinan, guru-guru tidak mencukupi selain keadaan yang tidak mengizinkan mereka belajar.

Walaupun UiTM menerima 20,000 pelajar berdasarkan merit persaingan, kita akan sediakan 5,000 tempat khas untuk golongan anak miskin Melayu yang saya sebutkan tadi dengan 80 peratus daripadanya lelaki. Kita hendak supaya wujud pengimbangan yang sesuai agar anak-anak Melayu sekali lagi mendapat pendidikan yang tinggi. Pada masa sama, kita mahu mereka mendekati antara satu sama lain dan mungkin berkahwin sesama mereka dan dengan cara ini, kita dapat melahirkan anak bangsa yang lebih cerdik dan terdidik dengan sempurna.

Pelaksanaan Program Mengubah Destini Anak Bangsa dengan memberikan 80 peratus daripada 5,000 tempat kepada pelajar lelaki mungkin akan mengundang kritikan bahawa UiTM mengamalkan diskriminasi gender?

Tidak. Kita sudah membuka 70 peratus kemasukan perdana (besar-besaran) itu kepada perempuan dan lelaki. Apa yang kita mahu lakukan adalah pengimbangan pelajar, kita tak diskriminasi. 80 peratus daripada 5,000 tempat khas pelajar miskin itu hanyalah kadar yang kecil.

Apa yang penting, sebarang usaha untuk kebaikan orang Melayu tidak seharusnya anggap diskriminasi. Kalau kita anggap ia diskriminasi, bagaimana untuk menjayakan usaha menyelamatkan bangsa, meninggikan taraf mereka selain membawa pengimbangan dalam peluang pendidikan di kalangan bangsa ini.

Kita tidak mahu 20 tahun dari sekarang, kita menyesal kerana tidak memikirkan nasib bangsa sendiri daripada sekarang. Kita akan mulakan Julai ini dengan melaksanakan pengambilan 5,000 pelajar Melayu miskin di seluruh negara.

Apakah kaedah yang akan dijalankan oleh UiTM untuk melaksanakan program ini?

Pelajar tidak perlu mohon secara online, mereka cuma perlu fotostat keputusan SPM dan kad pengenalan mereka sahaja.

Di Kedah, Kelantan dan beberapa negeri, kita cari pelajar-pelajar ini, kita pergi dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti keadaan kemiskinan keluarga dan kita akan tawarkan tempat kepada mereka yang layak. Malah, UiTM akan beri tempat tinggal, makan dan elaun kepada mereka yang terpilih. Kalau boleh saya tidak mahu ada seorang pun anak Melayu yang pandai dan boleh belajar, dinafikan tempat untuk mendapat pendidikan kerana dia miskin atau tak cukup syarat.

Apa yang penting ialah pelajar itu ada kemampuan untuk belajar dan kita akan beri peluang kedua ini untuk mereka mengubah destini diri dan keluarganya.

Cuba bayangkan, kalau satu semester kita boleh bagi 5,000 tempat, dalam tempoh satu tahun kita boleh sediakan 10,000 tempat untuk anak Melayu belajar. Dalam tempoh lima tahun, seramai 50,000 keluarga orang Melayu akan dapat diberi peluang belajar untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Program ini kalau dijalankan dengan baik boleh menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu. Inilah tujuan utama program ini.

Kita hendak menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu dan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang berkemahiran dan berkemampuan mendapat kerja di pasaran.

Pada masa yang sama, UiTM juga sedia mengubah beberapa polisi agar apabila pelajar ini menamatkan pengajian, boleh keluar contohnya sebagai graduan Diploma Perakaunan yang memiliki ijazah dalam bidang undang-undang.

Malah, pelajar yang ada ijazah dalam bidang kejuruteraan boleh melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan atau akauntan. Kita akan tawarkan program canggih dan futuristik yang akan meningkatkan taraf kebolehpasaran mereka.

Kita mahu, apabila pergi temu duga, pelajar UiTM yang diterima dahulu, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta kerana nilai tambah yang ada pada mereka termasuk sokongan bahasa Inggeris dan keusahawanan, yang telah dilengkapkan oleh UiTM.

Salah satu elemen budaya Melayu adalah tulisan jawi. Namun ramai kalangan Melayu sendiri semakin menjauhi tulisan itu. Apa peranan UiTM dalam hal ini?

Saya sedar ramai pelajar lupa tentang tulisan jawi. Identiti satu bangsa itu adalah melalui tulisan dan percakapan. Jadi kalau tak pandai tulis jawi, pelajar itu dilihat kurang dari segi 'kemelayuannya'.

Sebab itu kita mahu tekankan kepentingan jawi di kalangan pelajar Melayu. Kita kena wujudkan kesedaran penulisan jawi sebagai budaya yang tidak harus dipandang mudah.

Pelajar Melayu perlu digalakkan dengan membaca surat khabar, buku dan majalah dalam tulisan itu. Ini kerana, saya rasa sekarang hampir separuh pelajar tidak tahu membaca dan menulis jawi. Kalau dibiarkan, kita akan hilangkan 'kemelayuan ' dalam diri mereka.

Datuk kurang berkenan dengan program matrikulasi. Boleh jelaskan apakah sebabnya?

Pada pandangan saya, program matrikulasi banyak merugikan orang Melayu. Pengambilan pelajar hampir 30,000 orang untuk mengikuti program ini sehingga memakan sumber kewangan yang banyak, adalah tidak sepatutnya. Ini kerana ia masih tidak menjamin tempat di universiti dan kursus yang pelajar berkenaan minati.

Bagi yang lulus (matrikulasi) boleh meneruskan pengajian tetapi yang gagal, mereka ini akan kecewa dan telah membazirkan masa dua tahun tanpa mendapat apa-apa. Sedangkan para pelajar terbabit asalnya dari kalangan yang cemerlang dalam SPM.

Jadi apa alternatif Datuk cadangkan?

Bagi saya, adalah lebih untung jika para pelajar ini mengikuti kursus peringkat diploma sebab dalam tempoh tiga tahun, mereka sudah mendapat sijil sama ada untuk mencari pekerjaan atau meneruskan pengajian ke peringkat ijazah pula. Tambahan pula dengan adanya program multi disiplin yang ditawarkan UiTM, mereka ini akan keluar sebagai graduan terlatih dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, bahasa Inggeris dan lain-lain.

Berbanding program matrikulasi, mereka perlu mengikutinya selama dua tahun, barulah pelajar ini akan ditentukan pula pengajian peringkat ijazah. Itu pun ia belum dijamin.

Ini satu pembaziran masa, sedangkan kalau diberi peluang mengambil diploma, mereka boleh memilih bidang yang hendak diceburi dari awal-awal lagi dan menghabiskan pengajian dengan cepat.

Adakah ini bermakna program matrikulasi tidak lagi relevan pada masa ini?

Saya tidak mengatakan bahawa program matrikulasi itu perlu ditutup, tetapi kurangkan pengambilan pelajar dan pastikan mereka yang diambil betul-betul dijamin tempatnya di universiti dan mendapat kursus yang mereka minati. Kebanyakan mereka tidak mendapat tempat di universiti yang mereka idamkan dan kecewa kerana tidak berminat dengan jurusan yang diberi. Kesannya, apabila bekerja, mereka tidak berminat dan keadaan ini sudah pasti merugikan anak Melayu.

Jadi kita bandingkan kebaikan matrikulasi dengan diploma. Kalau jelas diploma membawa kebaikan, kenapa perlu terlalu ramai pengambilan dalam matrikulasi? Justeru kajian semula program matrikulasi perlu diadakan bagi melihat kesannya secara menyeluruh termasuk dari segi penambahan pelajar.

Bukankah penubuhan matrikulasi itu bertujuan memberi peluang kepada lepasan SPM untuk mendapat tempat di pusat pengajian tinggi?

Ya, tetapi janganlah pengambilan itu terlalu ramai sehingga ramai juga yang tercicir. Saya tidak boleh melihat pelajar Melayu tercicir. Kalau mereka ini tercicir, universiti mana yang akan menerima mereka? Paling menyedihkan, mereka terpaksa menggunakan semula slip SPM untuk memohon memasuki institusi pengajian lain, sekiranya tidak mencapai keputusan yang baik di peringkat matrikulasi.

Mungkin ramai yang marah dengan pandangan Datuk ini dan tidak kurang yang melihat sebagai usaha mempromosi UiTM?

Saya tahu perkara ini kalau saya suarakan ramai yang marah, tapi saya kena bersuara kerana tidak mahu dianggap sebagai 'pengkhianat' dalam usaha menjamin masa depan yang baik kepada anak-anak Melayu.

Lagipun, program diploma UiTM adalah sub-profesional dan negara kita memang memerlukan ramai pekerja sub-profesional. Ia satu opsyen yang lebih sesuai untuk kepentingan orang Melayu.

Selain itu, saya juga mendapat maklumat ramai ibu bapa menganggap satu paksaan apabila anak-anak masuk matrikulasi, mereka tidak dibenarkan mengambil diploma. Bagi saya, pelajar perlu ada kebebasan untuk memilih apa juga bidang yang diminati mereka untuk belajar.

UiTM sendiri mempunyai Program Persediaan Pelajar bagi mereka yang hendak melanjutkan pengajian ke luar negara.

Ini berbeza daripada matrikulasi kerana di bawah PPP, kita hantar semua pelajar ini melanjutkan pengajian mereka ke universiti luar negara. Mereka yang tidak mendapat tempat di luar negara, kita masukkan ke UiTM. Malangnya bagi pelajar matrikulasi yang gagal, mereka ini tidak tahu hendak ke mana.

Adakah UiTM sanggup menerima mereka?

Saya sanggup. Kita mahu beri tempat kerana mereka mempunyai keputusan yang baik di peringkat SPM dulu. Tujuan kita bukan untuk mengurangkan taraf UiTM dengan mengambil pelajar yang mendapat kelulusan rendah, tapi hanya untuk martabatkan pelajar Melayu dan memastikan pelajar matrikulasi tidak terabai.

Cuma kita tidak dapat tawarkan program di peringkat ijazah tetapi diploma dengan pengurangan kredit mata pelajaran.

Kalau kita boleh bantu, kita bantu. Akan tetapi kalau ada satu dasar baru untuk menyelamatkan pelajar ini, saya lagi gembira.

0 komen:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Entri Terkini

Komen Terbaru

Entri Popular