About Me

My Photo
Mass Communication Students Association atau MASSA adalah satu persatuan pelajar yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berperanan untuk menyatukan semua pelajar komunikasi tanpa mengira sequence dan menjalankan program untuk para pelajar di UiTM Shah Alam amnya dan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya.

22 July 2010

Bersama Mencegah Plagiat - Naib Canselor

www.tips-fb.com


Bersama Mencegah Plagiat

Bermula dengan pengambilan pelajar, memberikan pendidikan dan seterusnya mengurniakan ijazah merupakan tanggungjawab hakiki sesebuah universiti. Misi yang mulia ini akan tercemar seandainya isu plagiat menguasai suasana akademik di Institusi Pengajian Tinggi. Adalah amat malang dan memalukan dunia akademik seandainya tren penipuan yang berleluasa di kalangan pelajar di seluruh dunia ini tidak dikekang dan dibiarkan berterusan. Kewujudan Internet telah memburukkan lagi isu plagiat.

Kami di UiTM tidak pernah berkompromi dengan isu plagiat ini, malahan mengambil pendirian bahawa plagiat adalah satu jenayah akademik yang amat serius dan boleh mengakibatkan hukuman yang berat seperti disingkirkan atau digantung pengajian dari universiti. “Bunting” dan poster yang “menghiasi “ persekitaran kampus adalah satu langkah permulaan menyuarakan sekeras-kerasnya pendirian kami atas isu plagiat di samping meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar dan staf mengenai “barah” akademik ini. Demi sama-sama membantu kejayaan kempen ini, semua fakulti dan kampus cawangan dinasihatkan agar berusaha memberi penerangan kepada para pelajar tentang apa itu plagiat dan bagaimana boleh terjerumus ke dalam masalah ini. Salah faham sering terjadi di kalangan pelajar tentang isu ini. Pelajar perlu disedarkan bahawa plagiat tanpa niat tetap merupakan satu kesalahan/jenayah sama seperti plagiat dengan niat. Demi penyeragaman kefahaman, di samping pembasmian plagiat, pihak InQKA telah merintis usaha murni ini dan maklumat tentang plagiat akan dikongsi bersama warga UiTM.

Sebagai sebahagian dari usaha berterusan untuk memastikan amalan penilaian akademik yang berintegriti, kesemua hasil kerja pelajar akan secara beransur-ansur disaring keasliannya/bebas plagiat dengan menggunakan perisian anti plagiat. Pelajar yang didapati “menipu” akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan akademik UiTM. Universiti telah menyingkirkan seorang pelajar dan menggantung dua orang lagi atas sebab plagiat pada semester lepas ( Dis 2009- Mei 2010 ). Ini adalah satu mesej yang jelas tentang ketegasan UiTM di dalam menangani masalah ini.

Saya berharap agar pelajar turut memainkan peranan masing-masing demi memastikan “jenayah akademik” ini tidak berleluasa dan dapat dibendung di peringkat awal lagi. Pelajar perlu beretika di dalam melaksanakan semua tugasan akademik dan memastikan bahawa hanya hasil kerja yang asli dikemukakan untuk mengukur pencapaian serta keupayaan sebenar mereka. Sesungguhnya dunia akademik sentiasa menyanjung tinggi pelajar yang berintegriti dan jujur. Tanpa etika murni ini, kelayakan akademik yang diperolehi akan dicurigai. Plagiat membunuh keyakinan diri, membantutkan peluang membina kemahiran berfikir dan menulis; paling malang sekali ia akan mencacatkan sistem penilaian yang selama ini merupakan asas institusi akademik terutamanya UiTM yang dikasihi.

Mesej ini bukan bertujuan untuk menakutkan pelajar sehingga menjadi cuak untuk menggunakan atau mengaplikasikan idea-idea bernas dan cemerlang oleh penulis lain ke dalam tugasan akademik mereka. Perlu diingat, kesemua idea, maklumat (kecuali kepunyaan kita sendiri dan maklumat yang tergolong di dalam kategori pengetahuan umum) perlulah dinyatakan sumbernya secara jelas dan tepat. Apabila berlaku kekeliruan atau ketidakpastian, mintalah bantuan pensyarah. Proses pembelajaran dan perkembangan ilmu bermula dari hasil kerja orang lain tetapi ianya perlu diakui.

Di sini saya berseru agar semua warga UiTM memahami dan peka tentang keburukan dan bahayanya plagiat ini. Marilah sama-sama kita berganding bahu memerangi wabak ini dari terus mencemarkan nama baik UiTM. Jiwailah motto UiTM- USAHA, TAQWA, MULIA !



MASSA memberi saranan kepada semua mahasiswa UiTM untuk bersama menjayakan Kempen Anti-Plagiat yang sedang dijalankan.

1 komen:

SHAHRUL HAIRY DOT COM said...

good article. And i very understood when our VC request all UiTM community againts this issues

yours
SH

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Entri Terkini

Komen Terbaru

Entri Popular