UiTM Dan Bank Islam Lancar Kad Platinum MasterCard Untuk Alumni
SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Bank Islam Malaysia Bhd pada Selasa melancarkan kad kredit Platinum MasterCard yang dikenali sebagai "Kad Platinum MasterCard Bank Islam-Alumni UiTM".
Kad berkenaan yang ditawarkan kepada Ahli Alumni dan warga kerja UiTM dilancarkan bagi mengumpul dana untuk tabung Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Canselor UiTM, Datuk Prof.Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata pada majlis itu di sini, MDAB ditubuhkan bagi membiayai program Pra-Diploma UiTM yang ditawarkan bagi pelajar-pelajar miskin untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
Setakat ini UiTM telah mengambil seramai 5,000 pelajar miskin untuk mengikuti program pra-diploma sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat diploma yang bersesuaian.
UiTM merancang untuk mengambil 5,000 orang lagi Disember ini, katanya.
Dr Sahol berkata UiTM perlu mencari jalan bagi mencari dana untuk membiayai pelajar-pelajar miskin ini kerana mereka ini tidak mampu meneruskan pengajian kerana kemiskinan dan ada juga yang tidak cukup syarat akademik untuk memasuki universiti bagi mengubah nasib kehidupan mereka.
Oleh kerana program pra-diploma ini tidak mendapat pembiayaan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara, maka MDAB ini ditubuhkan untuk membiayai pengajian mereka, katanya.
Menurutnya, tabung MDAB ini perlu dikutip secara berterusan bagi menampung pembiayaan pengajian 10,000 pelajar miskin untuk program Pra-Diploma setahun dan melalui kerjasama dengan Bank Islam usaha ini akan dapat dicapai.
Sementara itu Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat berkata Bank Islam menyasar 30,000 pemegang kad platinum ini di kalangan Alumni UiTM selepas 12 bulan ia dilancarkan.
"Bagi setiap Kad Utama baharu yang diaktifkan, Bank Islam akan menyumbang sejumlah RM60 bagi setiap kad dan 0.3 peratus untuk setiap RM1.00 transaksi runcit. Selagi kad ini digunakan ianya akan terus menjana dana yang akan disalurkan ke tabung MDAB," katanya.
Beliau berkata jika 30,000 warga UiTM mendaftar sebagai ahli kad platinum dalam tempoh 12 bulan ini, sejumlah RM1.8 juta akan dapat disumbangkan kepada tabung MDAB.
Antara faedah yang ditawarkan oleh kad kredit ini ialah ia mematuhi syarat syariah sepenuhnya tanpa unsur riba dan gharar dan dikecualikan daripada yuran tahunan kad sepanjang hayat sekiranya digunakan melebihi 12 transaksi setahun.
Ia juga menawarkan rebat tunai sebanyak 0.3 peratus atas perbelanjaan runcit, perlindungan takaful perjalanan percuma sehingga RM1 juta, dan perlindungan Takaful Percuma ke atas baki tertunggak.
Inisiatif ini adalah antara aktiviti tanggungjawab korporat Bank Islam terhadap masyarakat, kata Zukri.
- Bagi setiap Kad Utama baharu yang diaktifkan, Bank Islam akan menyumbang sejumlah RM60 bagi setiap kad dan 0.3 peratus untuk setiap RM1.00 transaksi runcit. Selagi kad ini digunakan ianya akan terus menjana dana yang akan disalurkan ke tabung Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB)
- Jika 30,000 warga UiTM mendaftar sebagai ahli kad platinum dalam tempoh 12 bulan ini, sejumlah RM1.8 juta akan dapat disumbangkan kepada tabung MDAB.
- Antara faedah yang ditawarkan oleh kad kredit ini ialah ia mematuhi syarat syariah sepenuhnya tanpa unsur riba dan gharar dan dikecualikan daripada yuran tahunan kad sepanjang hayat sekiranya digunakan melebihi 12 transaksi setahun.
- Menawarkan rebat tunai sebanyak 0.3 peratus atas perbelanjaan runcit, perlindungan takaful perjalanan percuma sehingga RM1 juta, dan perlindungan Takaful Percuma ke atas baki tertunggak.
0 komen:
Post a Comment