UiTM juara Debat Diraja IPTA 2010
Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat sejarah baru dalam Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2010 kategori Bahasa Melayu apabila muncul juara pada pertandingan akhir hari ini.
UiTM melakar kejayaan itu setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam pertandingan yang berlangsung di kampusnya di sini.
Ketua pasukan UiTM, Mohd. Khairulnizam Bakeri, 25, berkata, kejayaan itu mengubat 'duka' lama pada 2005 apabila pengacara majlis tersilap mengumumkan universiti tersebut sebagai juara.
"Ketika itu, pasukan UiTM sudah memegang piala kejuaraan, namun kemudian pengacara majlis menyedari kesilapan dan mengumumkan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang muncul johan.
"Alhamdulillah, kejayaan kali pertama muncul juara ini mengubat kekecewaan lama dan hadiah untuk semua warga UiTM," katanya yang merupakan penuntut Fakulti Perakaunan semasa ditemui di sini hari ini.
Pasukan UiTM turut diwakili Muhammad Izzat Zulkefli, 22, Siti Nur Zamzafila Mohd. Nor, 23, dan Nur Alia Mat Jusoh, 22.
UTHM pula diwakili Muhammad Hakim Zainal, 22, Lee Te Chuan, 21, Fazrina Zifa Zaukani, 21, dan Azri Jaharudin, 21.
Tajuk pertandingan debat adalah Wawasan 2020: Malaysiaku takkan menangis dengan UiTM menjadi pihak pencadang manakala UTHM sebagai pembangkang.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Dengan kemenangan itu, pasukan UiTM membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan dan sijil penyertaan.
Muhammad Izzat yang merupakan Presiden Kelab Debat UiTM berkata, pasukannya telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi pertandingan tersebut termasuk mengadakan beberapa siri pertandingan persahabatan dengan beberapa IPTA lain.
Siti Nur Zamzafila daripada Fakulti Sains Matematik pula berkata, penuntut bidang sains juga mempunyai kemampuan setanding mahasiswa aliran sains sosial yang sering mendominasi pertandingan debat sebelum ini.
"Bidang sains juga menekankan aspek berhujah dengan fakta secara logik yang menjadi komponen penting dalam debat," katanya.
Kenyataan itu terbukti benar apabila Ketua Pasukan UTHM daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Hakim Zainal dipilih sebagai pendebat terbaik keseluruhan kategori Bahasa Melayu.
Muhammad Hakim yang membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil berkata, antara cabaran terbesar dalam pertandingan debat adalah untuk menterjemahkan fakta sains, teknikal dan ekonomi dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang ramai.
Kategori debat Bahasa Arab pula diungguli Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) manakala Universiti Malaya (UM) muncul johan kategori Bahasa Inggeris.
Pertandingan itu dianjurkan sejak 1995 dan kali ini sebanyak 35 pasukan daripada 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tiga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengambil bahagian dalam pertandingan debat bahasa Melayu.
Bagi kategori bahasa Arab pula, sebanyak 18 pasukan daripada sembilan IPTA mengambil bahagian manakala kategori bahasa Inggeris melibatkan 14 IPTA dan satu IPTS.
1 komen:
seorang pelajar mc110 uitm melaka, Ibnu Mohamed mewakili uitm dalam kategori muda debat bahasa melayu di debat piala diraja dan memenangi naib johan, tahniah!
Post a Comment