About Me

My Photo
Mass Communication Students Association atau MASSA adalah satu persatuan pelajar yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berperanan untuk menyatukan semua pelajar komunikasi tanpa mengira sequence dan menjalankan program untuk para pelajar di UiTM Shah Alam amnya dan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya.

10 October 2010

Akhbar Melayu Masih Berpengaruh

www.tips-fb.com

Laporan akhbar hari ini (10 Oktober 2010) berkaitan Forum Media: Survival Akhbar Melayu anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) yang telah diadakan semalam;

Akhbar Melayu masih berpengaruh

Tak tergugat dengan media baru seperti blog

Ahli Panel Forum Survival Akhbar Melayu berpendapat media baru seperti blog belum dapat menandingi akhbar arus perdana, termasuk akhbar berbahasa Melayu yang dilihat tetap berpengaruh untuk mengetengahkan pendapat.

Bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin, berkata kajian menunjukkan pengunjung kebanyakan laman blog semakin mencatatkan penurunan, berbeza dengan akhbar berbahasa Melayu arus perdana yang terus kekal sejak berpuluh tahun.

“Saya yakin masa depan akhbar Melayu sangat cerah walaupun jualannya agak merosot. Namun, pengunjung blog semakin merosot kerana rakyat sekarang semakin bijak selain mempunyai pelbagai pilihan mendapat dan menilai maklumat.

“Saya juga berpendapat Harian Metro ialah jelmaan Berita Harian manakala Kosmo! ialah jelmaan Utusan Malaysia yang tampil meneruskan survival akhbar berbahasa Melayu,” katanya pada sesi kedua forum itu di Pusat Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini semalam.

Ahli akademik yang juga Pensyarah Universiti Teknologi PETRONAS( UTP), Prof Dr Ahmad Murad Merican, pula berkata peranan akhbar tidak akan dapat diganti baru, tetapi pengurusan akhbar berbahasa Melayu perlu memikirkan strategi untuk meluaskan pengaruh akhbar mereka, termasuk memasarkannya pada peringkat antarabangsa.

“Mungkin akhbar kepunyaan syarikat Melayu boleh terbitkan akhbar berbahasa Cina sekali sebulan atau menerbitkan sisipan dalam bahasa lain,” katanya.
Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi yakin kepesatan teknologi tidak akan menjejaskan akhbar berbahasa Melayu.

“Dulu orang cakap bila ada mesin faksimili, pos laju tidak lagi akan relevan. Namun, hari ini kita lihat pos laju masih bertahan dan mereka cuba melakukan pelbagai perubahan untuk terus bersaing,” katanya.



Akhbar Melayu perlu bersifat nasional

Akhbar Melayu perlu bersifat nasional tanpa mengikut jejak akhbar Cina yang sering memisahkan bangsa dengan isu-isu melawan arus kebangsaan bagi memastikan diterima segenap lapisan masyarakat sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, tindakan akhbar-akhbar Cina hanya merugikan mereka kerana tidak berada dalam arus perdana yang akan menjadi imej berkualiti, bertaraf nasional dan antarabangsa.

Tegasnya, rentak itu sama sekali tidak seharusnya dicontohi sebaliknya akhbar Melayu terutamanya Utusan Malaysia perlu mengetuai pembentukan masyarakat Malaysia berasaskan jati diri dan semangat negara.

"Kita usah terlalu ghairah hendak 'bereaksi' sebaliknya perlu mengetuai pembentukan masyarakat Malaysia berasaskan jati diri dan semangat negara," katanya ketika menjadi panel Forum Media: Sur vival Akhbar Melayu di Dewan Pusat Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Turut sama menjadi panel forum ialah bekas Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Seri Azman Ujang; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya; Pengarah Urusan Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Adi Satria Ahmad; bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican.

Zainuddin tetap menyatakan keyakinan bahawa survival akhbar Melayu adalah lebih cerah jika dibandingkan dengan akhbar-akhbar lain yang mana jualannya tidak menunjukkan peningkatan.

Chamil Wariya pula berkata, akhbar Utusan Malaysia perlu terus kekal dengan identitinya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini, di sebalik segala kecaman dan kritikan yang diterima akhbar itu kebelakangan ini.

Menurutnya, kejatuhan jumlah edaran yang dialami Utusan Malaysia tidak harus menjadi kayu ukur kepada kejayaan akhbar tersebut dalam perjuangannya kerana trend itu turut dialami di seluruh dunia dan kebanyakan akhbar di Malaysia.

Tambahan pula katanya, naik dan turun jumlah pengedaran sesebuah akhbar itu adalah biasa dalam industri persuratkhabaran dan ia bukanlah sesuatu yang perlu dikhuatiri.

"Apatah lagi, Utusan Malaysia kini menerima kira-kira 2.5 juta pembaca sebulan iaitu antara ketiga tertinggi di Malaysia. Itu satu jumlah yang ramai dan saya percaya, Utusan Malaysia mempunyai pengikut yang setia,'' katanya.

Ahmad Murad pula berkata, akhbar-akhbar Melayu 'bergenre' serius perlu terus kekal dengan dasar editorial sedia ada dalam memberi idea dan membawa gagasan kepada pembacanya.

Menurutnya, meskipun jumlah pembaca akhbar 'genre' itu dilihat menurun ketika ini, namun pihak editorial tidak sepatutnya berkompromi dengan menyajikan bahan berita yang lebih ringan dan berbentuk sensasi bagi menarik minat pembaca.

Jika perkara itu dilakukan tegasnya, akan berlaku kehancuran terhadap orang Melayu kerana mereka akan kehilangan medium untuk mendapat idea serta berita-berita penting yang berkaitan dengan pembentukan serta kemajuan bangsa dan negara.

"Kalau kita berkompromi, percayalah bahawa kita akan hancur keseluruhannya kerana asyik disogok berita-berita yang ringan," katanya.

Beliau mencadangkan agar syarikat-syarikat akhbar Melayu memiliki saham dalam syarikat-syarikat akhbar berbahasa lain bagi memastikan orang Melayu turut dapat menyumbang kepada pembentukan identiti negara ini.

Sementara itu Adi Satria meminta agensi pengiklanan agar lebih 'membuka mata' terhadap kemampuan akhbar-akhbar Melayu dalam membantu mempopularkan sesuatu produk berbanding akhbar berbahasa Inggeris.

Beliau hairan dengan sikap kebanyakan agensi pengiklanan yang lebih memberi keutamaan kepada akhbar berbahasa Inggeris sedangkan akhbar berbahasa Melayu mempunyai pembaca yang jauh lebih ramai.

Menurutnya, keutamaan kepada akhbar berbahasa Inggeris mungkin ada kena mengena dengan stigma pengeluar produk, usahawan atau agensi pengiklanan kononnya sesuatu produk itu akan lebih dipandang tinggi.

"Sedangkan realitinya berbeza. Kajian juga menunjukkan bahawa pembaca akhbar Melayu lebih peka terhadap iklan kerana jumlahnya tidak sebanyak di akhbar Inggeris.

"Itu yang akan terus saya perjuangkan. Kumpulan Utusan melalui Utusan Malaysia dan Kosmo! contohnya, telah berjaya membantu perniagaan usahawan Melayu seperti produk Nouvelle Visage, Sendayu Tinggi dan One Drop Perfume untuk dikenali," ujarnya.



Klik Baca Selanjutnya untuk membaca keratan penuh akhbar berkenaan.


0 komen:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Entri Terkini

Komen Terbaru

Entri Popular