Setelah hampir dua tahun menjaga blog MASSA ini dari April 2009 hingga Disember 2010, akhirnya saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada blog ini. Sebagai moderator, saya memohon ribuan kemaafan jika melakukan sebarang salah dan silap sepanjang mengendalikan blog ini. Selain itu saya ingin juga mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang mengunjungi blog ini, kerana anda saya bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai moderator.
Berkongsi sedikit pengalaman mengendalikan blog MASSA, banyak cabaran yang saya hadapi antaranya adalah untuk mencari bahan berita untuk dimuatkan dalam blog ini. Selain mendapat maklumat dari rakan-rakan AJK MASSA dan usaha sendiri, saya ingin berterima kasih kepada semua tak kira pelajar FKPM mahupun fakulti lain yang sudi memberikan cerita atau makluman untuk dikongsi di blog MASSA.
Satu lagi cabaran yang saya takkan lupa adalah untuk mengawal ruangan chat dalam blog ini. Pernah suatu ketika timbul perbalahan di ruang berkenaan antara pelajar lepasan diploma dengan pelajar lepasan STPM hingga berlaku serang-menyerang. Saya terpaksa memainkan peranan untuk mengawal situasi berkenaan dengan membuang komen-komen yang negatif. Sejak peristiwa itu saya setiap hari memantau ruangan chat untuk melihat setiap komen yang ditulis. Saya tidak akan memadam komen berunsur kritikan, hanya komen yang berunsur negatif, hasutan dan cacian sahaja yang dipadam.
Tentang kegembiraan dalam mengendalikan blog ini, tiada apa yang lebih mengembirakan saya selain daripada dapat membantu rakan-rakan pelajar dengan setiap makluman yang disampaikan. Saya gembira apabila Penasihat MASSA iaitu Puan Hariyati memaklumkan saya bahawa blog ini juga dikunjungi oleh dekan dan timbalan dekan kita serta pensyarah-pensyarah lain. Tetapi saya lebih gembira sebenarnya bila mengetahui blog ini juga dilawati oleh pelajar fakulti lain, ada juga kunjungan dari universiti lain, alumni FKPM malah bakal pelajar FKPM juga lebih dulu mengenali blog MASSA sebelum mereka menjadi warga UiTM. Buktinya di ruangan chat dan di email MASSA pernah menerima maklum balas dari bakal pelajar yang biasanya ingin bertanya mengenai temuduga FKPM selain ingin mengetahui suasana pembelajaran di sini.
Melihat keberkesanan blog ini pada 2009 dalam memperkenalkan nama MASSA di seluruh UiTM, saya mengambil keputusan untuk menerima pelawaan Puan Hariyati untuk terus mengendalikan blog MASSA untuk sesi 2010 dengan memberikan saya jawatan khas sebagai moderator blog MASSA walaupun ketika itu saya sudah masuk tahun terakhir pengajian dan sedang berpraktikal. Walaubagaimanapun, kesibukan berpraktikal tidak mengganggu saya malah tugas saya di Jabatan Komunikasi Korporat UiTM di Canseleri sedikit sebanyak membantu saya untuk berkongsi info berkaitan UiTM di blog ini.
Saya sedar mempopularkan nama MASSA di ruang maya tidak cukup hanya di blog, oleh yang demikian saya membuka akaun MASSA di Facebook, Twitter, Flickr dan juga YouTube. Selain memudahkan pengumpulan koleksi video dan gambar, laman-laman ini juga boleh mendekatkan MASSA dengan pelajar FKPM. Mereka akan lebih tahu perkembangan aktiviti anjuran MASSA selain dapat melihat wajah mereka dari video dan gambar koleksi MASSA untuk setiap aktiviti. Dari biarkan gambar tersimpan dalam desktop di bilik gerakan, adalah lebih baik ia dimuatnaik untuk tontonan semua.
Inilah serba sedikit yang dapat saya ingat untuk dikongsikan. Untuk tahun 2011 saya menyerahkan kembali blog ini dan semua akaun MASSA yang lain kepada AJK MASSA 2011/12 untuk menentukan halatuju seterusnya. Walaupun telah bergelar alumni, saya berjanji akan terus membantu pihak MASSA dan fakulti dalam berkongsi pengalaman atau idea. Saya ucapkan selamat bertugas kepada AJK baru dan sekali lagi terima kasih buat semua pengunjung blog MASSA.
Meor Iszwan
Timbalan Presiden MASSA 2009
Moderator Blog MASSA 2010
1 komen:
Terima kasih for everything Abg Mor!!!!
Post a Comment